Isnin, 4 April 2011

Melayu Masih Lemah Dalam Kewangan

APABILA timbul skim cepat kaya dan pelaburan menerusi Internet, orang Melayulah yang paling ramai berhimpun mendengar cerita dan sanggup menghabiskan wang untuk menyertainya.

Sedangkan orang Melayu tidak pernah mempersoalkan di mana wang itu dilaburkan dan siapa yang menguruskan dana tersebut. Betapa singkatnya minda bangsa kita untuk mendapatkan wang dengan cara mudah hanya dengan menaja beberapa orang kononnya akan mendapat pulangan yang lumayan.
Tetapi apabila terdapat sistem kewangan yang dipantau oleh kerajaan, kebanyakan kita mempersoalkan halal dan haram dan perkara remeh yang sengaja diperbesarkan untuk menyempitkan minda bangsa sendiri.

Dalam membicarakan soal-soal kewangan, orang Melayu agak jauh ketinggalan dalam sistem kewangan seperti bidang insurans, unit amanah dan lain-lain produk kewangan yang mendapat kelulusan kerajaan dan di bawah pemantauan Bank Negara.

Kelemahan ini wujud hampir di semua lapisan masyarakat Melayu dari yang berpendidikan tinggi hingga kepada mereka yang berpendidikan rendah. Amat mendukacitakan untuk mengakui bahawa hampir 80 peratus golongan profesional Melayu masih kurang memahami mengenai sistem perancangan kewangan yang boleh membantu menjana ekonomi keluarga mereka.

Sikap tertutup bangsa Melayu seperti ‘katak bawah tempurung’ masih tebal dalam soal membicarakan pengurusan kewangan khususnya melalui penasihat kewangan yang bertauliah. Malah keadaan ini juga mungkin disebabkan sikap negatif diri mereka sendiri (paling ramai) dan kemungkinan sikap ajen dan penasihat kewangan yang tidak profesional dan beretika.

Dalam membina kekuatan ekonomi, tugas perunding kewangan insurans dan wakil takaful adalah sangat penting demi memberikan pemahaman yang baik untuk bangsa kita mengubah paradigma dalam pengurusan kewangan.

Namun kekesalan utama bidang kewangan ini ialah apabila ada wakil takaful menjalankan tugas tanpa etika profesional semasa berurusan dengan pelanggan. Apa yang berlaku di depan mata menyebabkan penulis terfikir mengenai sistem dan amalan perniagaan takaful yang kononnya ‘Islamik’ adalah benar-benar tidak beretika.

Daripada 10 penasihat takaful yang ada, saya berani mengatakan hanya seorang dua daripada mereka menjual produk syarikat dengan profesional, dan selebihnya memburukkan syarikat insurans konvensional dengan pelbagai tohmahan kononnya haram dan tidak Islam. Malah di kalangan penasihat takaful juga mereka memburukkan syarikat takaful yang lain demi menambat hati pelanggan.

Untuk pengetahuan, ramai penasihat takaful berhijrah dari sebuah syarikat ke syarikat takaful yang lain demi mengejar komisen dan ganjaran. Apa yang berlaku ini adalah realiti yang menjejaskan reputasi takaful yang dilihat sebagai sistem kewangan Islam. Malah pemegang polisi menjadi mangsa apabila wujud pelbagai masalah yang berlaku disebabkan sikap penasihat takaful yang mementingkan diri sendiri.

Bank Negara melalui badan khas yang mempunyai kuasa perlu menyiasat bagaimana begitu ramai pelanggan insurans konvensional yang menamatkan polisi mereka melalui usaha wakil takaful yang bermoral rendah ini. Terdapat banyak bukti pelanggan dihasut dan diminta menulis surat memberhentikan polisi yang telah dibayar bertahun-tahun kerana dikatakan ‘haram’ menggunakan wang tersebut.

Sepatutnya menjadi dasar Bank Negara untuk bertindak tegas jika amalan ini dikesan. Maklumat atau info insurans yang dikeluarkan oleh BNM melalui kerjasama syarikat insurans dan takaful di dada-dada akhbar yang tertulis “Membeli polisi insurans hayat, jangan jadi mangsa kepada penukaran polisi” jelas tidak
diendahkan oleh kebanyakan wakil takaful. Adakah info tersebut hanya sekadar melepaskan batuk di tangga dan tiada usaha konkrit menanganinya? Kita bimbang jika industri kewangan ini terjejas pastinya merugikan ramai pemegang polisi dan kaum keluarga mereka jika terjadi sesuatu.

Keutuhan sistem kewangan juga secara tidak langsung akan terjejas akibat sikap penasihat takaful yang sebegini.

Apa yang tidak diketahui oleh pemegang polisi insurans konvensional ialah kebanyakan sistem konvensional telah lama mematuhi pelaburan berasaskan syarak. Malah hal-hal yang meragukan seperti riba tidak lagi menjadi amalan syarikat insurans konvensional kini. Paling terbukti ialah sistem takaful sehingga hari ini masih tidak dapat menanding operasi insurans konvensional yang jauh cekap dan efisien.
Malah rungutan mengenai masalah tuntutan adalah amat minimum berbanding surat pembaca yang terpampang di akhbar dan banyak lagi masalah yang sebenarnya tidak diadukan secara terbuka. Inilah natijah yang ditanggung oleh operasi takaful kerana sikap tidak beretika wakil mereka dalam urusan menambat hati pelanggan.

Pengalaman seorang rakan yang pernah menjadi ajen insurans konvensional dan dipujuk menyertai sebuah syarikat takaful menjadi asas dan bukti kukuh apa yang sedang berlaku dalam industri takaful. Setelah mendaftar dan lulus sebagai ajen beliau telah menghadiri sesi penerangan dan mesyuarat oleh agensi takaful berkenaan selama beberapa minggu.

Akhirnya beliau mengambil keputusan menjalankan semula perniagaan insurans konvensional apabila mendapati ‘modal besar’ syarikat tersebut memasarkan produk mereka ialah dengan memburukkan insurans konvensional. Persoalannya adakah mereka ini benar-benar memahami sistem insurans konvensional.
Paling menyedihkan kebanyakan orang Melayu difahamkan bahawa maksud ‘konvensional’ adalah ‘haram’. Sedangkan merujuk Kamus Dewan, ‘Konvensional’ bermaksud sesuatu amalan, ciri-ciri atau lain-lain yang sudah diiktiraf secara meluas dan dipatuhi.

Seperti yang dinyatakan dalam satu dalil “ Janganlah engkau menghukum tanpa ilmu, kelak engkau akan menganiaya orang lain.”

Sudah sampai masanya Bank Negara mengambil tindakan proaktif terhadap amalan niaga wakil takaful seperti ini agar mereka tidak menjadikan amalan ini sebagai budaya kerja syarikat takaful yang semakin ketara. Sikap mereka yang seronok memburukkan pihak lain tidak pernah diajar dan dibenarkan dalam Islam. Apakah rezeki yang mereka peroleh dengan usaha ‘memijak’ orang lain mempunyai keberkatan ?

Adalah amalan niaga yang berunsur kotor seumpama ini dapat meningkatkan kefahaman orang Melayu terhadap sistem dan pengurusan kewangan yang berkesan. Lihatlah teras dan amalan niaga bangsa lain yang mengutamakan kepuasan pelanggan dan menyediakan perkhidmatan yang memuaskan.
Jarang sekali kita mendengar sikap ‘menghentam’ orang lain dalam budaya niaga mereka. (Rujuk buku Rahsia Bisnes Orang Cina – Ang Wang Seng).

Orang Melayu sebagai bangsa yang beragama Islam wajar mengubah budaya ini dalam segenap kontek khususnya dalam bidang ekonomi, perniagaan, politik, kemasyarakatan dan sebagainya. Amalan bermoral dan membina kekuatan peribadi dalam kontek modal insan yang dibina dalam diri sendiri dan seterusnya masyarakat Melayu perlu terus diterapkan dan diingatkan sesama kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan